Pokok kurma boleh dibiakkan melalui 3 cara berbeza iaitu melalui kaedah sulur atau cabang, kaedah tissue culture atau klon dan kaedah semaian biji benih. Melalui entry kali ini, saya akan bincangkan sedikit mengenai ketiga-tiga kaedah ini dan kelebihan dan kelemahan tiap-tiap kaedah tersebut.
1. Kaedah sulur @ tunas @ cabang
Boleh dikatakan kaedah ini adalah kaedah rasmi dalam pembiakan pokok kurma. Kebiasaan pokok kurma dewasa yang berusia antara 10-15 tahun akan mengeluarkan 20-30 tunas anak pokok baru. Walau bagaimanapun tidak semua tunas-tunas ini sesuai ditanam. Sekitar 4-5 tunas sahaja yang sesuai akan dipilih dan dipisahkan daripada pokok induk dewasa setelah tunas tersebut berusia 3-4 tahun. Setelah dipisahkan, anak pokok ini mesti dibesarkan di nurseri dahulu untuk 1-2 tahun berikutnya. Selepas itu, barulah pokok tersebut sesuai untuk ditanam.
Kelebihan kaedah pembiakan ini adalah anak pokok yang terhasil akan mewarisi genetik, sifat & kelebihan daripada induknya. Selain itu, pokok kurma yang terhasil juga akan mengeluarkan buah 2-3 tahun lebih awal daripada pokok yang ditanam melalui biji benih.
Seperti yang kita tahu, kaedah ini tidak sesuai digunakan di negara kita kerana ketiadaan @ kekurangan pokok kurma dewasa yang berkualiti untuk mengeluarkan tunas anak pokok.
2. Kaedah 'tissue culture'
Kaedah ini adalah kaedah moden yang menggunakan teknik klon untuk menghasilkan anak pokok baru daripada sel tisu pokok kurma yang berkualiti. Teknik ini dijalankan di dalam makmal & memerlukan kepakaran dalam penghasilan 'callus' daripada 'tissue' yang diambil.
Antara kelebihan kaedah ini
- anak pokok akan mewarisi genetik, sifat & kelebihan pokok asal.
- boleh dihasilkan dengan skala yang besar
- Pengeluaran tanaman genetik seragam
3. Kaedah semaian biji benih
Kaedah ini adalah kaedah paling mudah antara ketiga-tiga cara pembiakan pokok kurma. Walau bagaimanapun terdapat banyak kelemahan daripada pembiakan melalui kaedah ini.
Kelemahan
- Anak pokok daripada semaian biji benih selalunya hanya akan mengeluarkan bunga setelah berusia 7 tahun
- Pokok betina yang berasal dari benih biasanya menghasilkan buah-buahan yang lewat matang dan berkualiti rendah berbanding dengan pokok kurma daripada kaedah tunas atau klon.
- pokok kurma daripada biji benih tidak mewarisi variasi keturunan daripada induk dewasa.
Kelebihan
- Senang untuk dihasilkan
Konklusi
Jadi untuk mendapatkan pokok kurma yang boleh menghasilkan buah yang banyak dan berkualiti, kaedah sulur & 'tissue culture' mesti diutamakan.
No comments:
Post a Comment